CARA BERTENGKAR YANG SELAMAT


Ada kala perbezaan, pertentangan pendapat dan pertengkaran tidak dapat dielakkan. Ia boleh mencipta konflik antara suami isteri yang mungkin berlarut-larutan. Biasanya, apabila bertengkar, kita akan menuduh pasangan kita bertanggungjawab menyebabkan pertengkaran itu. Kita percaya kita tidak bersalah dan tidak menjadi punca apa yang berlaku.

Dalam keadaan itu, bahasa yang digunakan ialah bahasa menyalahkan orang lain. Bahasa itu juga disebut sebagai bahasa 'menuduh' atau bahasa 'awak'.

"Ini semua salah awak."

"Kalau awak ada di rumah, masalah ini takkan timbul."

"Cuba kalau dari dulu awak mahu dengar pendapat saya, kan baik?"

"Apa salahnya awak datang sendiri?"

Kata-kata seperti itu, menunjukkan bahawa orang yang bercakap itu tidak mahu bertanggungjawab atas apa yang berlaku sehingga menyebabkan mereka bertengkar. Dia yakin dia tidak sedikit pun menyumbang kepada pertengkaran itu. Sebaliknya orang lainlah yang menyebabkan bertengkaran itu.

Kerap kali, dalam pertengkaran, masing-masing tidak mahu bertanggungjawab. Kesannya, mereka saling tuduh menuduh . Selagi masing- masing mendakwa dirinya tidak bertanggungja- wab, selagi itu konflik yang ditimbulkan oleh pertengkaran itu tidak akan berakhir. Barangkali mereka sudah berhenti bertengkar, tetapi itu bukan bermakna konflik itu ikut tamat di situ Konflik itu mungkin masih berlarutan walaupun ia tidak diucapkan. Kedua-dua belah terus berkonflik dalam hati. masing-masing.

Untuk bertengkar dengan cara selamat, perkara paling penting ialah ubah sikap yang tidak mahu bertanggungjawab. Apabila kedua-dua belah pihak mahu mengaku bahawa masing-masing turut bersalah sehingga tercetusnya pertengkaran itu, barulah konflik ada harapan diselesaikan.

Kalau kita asyik dipersalahkan, memanglah sukar bagi kita hendak bersikap bertanggungjawab dan mengaku bahawa kita turut menyumbang kepada pertengkaran itu. Biasanya kita akan bersikap defensif, iaitu membela diri Cara yang paling senang untuk membela diri kita ialah menyalahkan pasangan kita sendiri. Kesannya, pertengkaran itu bertumpu kepada dialog saling salah-menyalahan.

Kedua-dua pihak menggunakan gaya bahasa menyalahkan orang lain. Mereka menggunakan bahasa 'awak' iaitu bahasa menuduh.

Isteri: "Awak sengaja menyakitkan hati saya."

Suami: "Awak yang kata saya sengaja sakit hati awak. Saya tak ada niat nak sakitkan hati awak."

Isteri: "Awak tahu saya memang takkan setuju, tapi kenapa awak buat juga?"

Suami: "Mana saya tahu awak tak setuju. Awak tak pernah cakap."

Isteri: "Awak sengaja tak mahu ambil tahu perasaan saya."

suami: "Kalau awak tak cakap, mana saya tahu?"

Begitulah contoh dialog defensif, itu dialog yang suami dan isteri saling tuduh-menuduh demi membela diri. Masing-masing tidak mahu mengaku bahawa dia turut bersalah menyebabkan pertengkaran itu. Selagi mereka tidak mahu menukar sikap tidak mabu bertanggungjawab, selagi itu mereka akan terus bertengkar.

Untuk bertengkar dengan selamat langkah pertama dan langkah paling penting ialah sekurang-kurangnya satu pihak mesti sanggup mengubah sikap tidak mahu bertanggungjawab. Jadi ambilah inisiatif memulakannya. Walaupun kita dipersalahkan, jangan kita jawab cara membalas tuduhan dengan tuduhan juga. Ini memang susah, tetapi kita boleh mengawal mulut kita sentdiri.

Apabila salah seorang menunjukkan sikap positif ia menghasilkan dua kesan baik. Pertama, ia dapat mencegah pertengkaran itu daripada bertambah buruk. Kedua, sikap positif itu mungkin ditiru pihak satu lagi.

Dalam dialog berikut, suami tidak menggunakan bahasa menyalahkan orang lain. Dia menunjukkan sikap bertanggungjawab dengan mengakui bahawa dia turut menyebabkan pertengkaran itu.

Isteri: "Awak sengaja menyakitkan hati saya."

Suami: "Saya tahu hati awak sakit kerana apa yang saya.buat."

Isteri: "Awak tahu saya memang takkan setuju, tapi kenapa awak buat juga?"

suami: "Saya mengaku saya buat perkara itu walaupun awak tak setuju. Tapi saya ada alasan sendiri."

Dalam sebarang pertengkaran rumahtangga, tiada pihak yang

tjdak bersalah menyebabkan pertengkaran itu. Kalau tidak banyak, sedikit rnasing-masing tentu turut bersalah. Ada banyak cara kita boleh menunjukkan bahawa kita mahu bertanggungiawab dalam pertengkaran itu.

" Saya tahu, saya pun salah juga.

" Saya minta maaf. Itu salah saya."

"Saya mengaku, tadi saya terlalu ikutkan perasaan."

Langkah kedua agar bertengkar dengan selamat ialah berhenti bercakap mengenai perbezaan-perbezaan. Pertengkaran memang datang daripada perbezaan. Tetapi, walaupun suami isteri mempunyai perbezaan, mereka juga mempunyai banyak persamaan. Perbuatan suka membesar-besarkan perbezaan, tidak boleh tidak, akan mencetuskan pertentangan pendapat, perbalahan dan konflik.

Ramai suami isteri suka menumpukan perhatian mereka kepada sifat-sifat yang berbeza antara diri mereka dengan pasangan. Kedua-dua pihak menumpu kepada perkara mereka berbeza, bukan perkara mereka serupa.

Sikap suka memberi tumpuan kepada perbezaan datang daripada sikap yang suka berfikir secara negatif dan kritis. Gaya pemikiran negatif dan kritis datang daripada cara berfikir yang diajar di sekolah. Guru-guru suka mencari salah murid dengan tujuan supaya murid akan membetulkan kesalahannya. Walaupun sekolah suka cara berfikir begitu, di luar sekolah ia boleh menyebabkan banyak masalah. Cara berfikir yang begitu, sudah tentu menghasilkan sikap suka mencari kesalahan, kekurangan, kelemahan dan cacat-cela orang lain.

Dialog pertengkaran berikut ialah contoh suami dan isteri asyik menegaskan perbezaan-perbezaan antara mereka berdua. Mereka lupa bahawa mereka juga ada banyak persamaan.

Isteri: "Saya dah kata, cat itu tak cantik, tapi awak kata cantik. Awak degil, tak mahu dengar pendapat orang lain. Awak fikir pendapat awak saja betul."

Suami: "Itu mata awak yang kata cat ini tak cantik. Mata saya kata cantik."

Isteri: "Awak tak boleh fikir mata awak saja. Orang lain pun ada mata juga. Mana ada orang lain cat kereta warna macam warna dangdut! Saya nak naik pun, rasa malu."

Suami: "Awak malu. Saya tak malu. Awak tak mahu naik, awak beli kereta sendiri. Ini kereta saya. Suka hati sayalah."

Isteri: "Mentang-mentanglah awak ada kereta, saya tak ada kereta. Daripada malu, baik saya naik bas saja."

Ramai wanita memang mencari-cari apa yang berbeza antara diri mereka dan suami mereka. Kemudian mereka memberi tumpuan kepada perbezaan itu. Semakin hari senarai perbezaan yang mereka berjaya kumpulkan itu semakin panjang. Kemudian mereka yakin perbezaan-perbezaan itulah yang menjadi punca masalah. Lalu mereka berusaha cuba mengubah suami mereka supaya mereka tidak berbeza lagi. Ramai isteri berusaha supaya suami mereka berfikir dan berkelakuan seperti mereka sendiri kerana yakin apabila fikiran dan kelakuan suami dan isteri serupa, barulah tidak timbul lagi sebarang pertentangan pendapat.

Usaha mengubah diri orang lain supaya serupa dengan diri kita, adalah usaha yang sia-sia. Pertama, manusia tidak suka menjadi seperti diri orang lain. Manusia cuma mahu menjadi dirinya sendiri.

Kedua, perbezaan bukanlah punca pergaduhan dan konflik rumahtangga. Faktor utama yang menjadi punca konflik itu ialah sikap kita terhadap perbezaan. Suami dan isteri mesti mengubah sikap mereka terhadap perbezaan-perbezaan yang ada antara mereka berdua. Barulah perbezaan tidak menjadi ancaman kepada cinta, kasih sayang dan keintiman suami isteri.

Caranya ialah dengan menegaskan persamaan-persamaan yang ada antara mereka, meskipun pada masa sedang bertengkar.

Isteri: "Saya tak suka, saya tak sukalah."

Suami: "Tak apalah kalau awak tak suka yang ini, walaupun saya suka. Mari kita cari yang lain, yang saya suka, dan awak pun suka."

Langkah ketiga agar bertengkar dengan selamat ialah berhenti mencari siapa yang menjadi punca pertengkaran, sebaliknya mula mencadangkan cara-cara penyelesaiannya.

Isteri: "Saya tak puas hati betul dengan apa yang terjadi."

Suami: "Nampaknya kita tak habis-habis bergaduh kerana perkara yang sama. Awak tak puas hati, saya pun tak puas hati. Mari kita cari penyelesaian yang kita sama-sama puas hati. Apa cadangan awak?"

Biasanya, apabila sedang bertengkar, masing-masing pihak sibuk saling salah-menyalahkan satu sama lain. Perbuatan itu tidak berguna kalau apa yang kita mahu ialah penyelesaian. Ia hanya memburukkan lagi pertengkaran yang sedang berlaku.

Comments

Popular posts from this blog

80% PELAJAR TAMAT TAHFIZ TIADA SPM? BETUL KE