PERKONGSIAN PENGALAMAN HIDUP


ARIF! SELAMAT HARI GRADUASI
Di hening subuh tanggal 10 Ogos tahun 1999, aku terbangun dari lenaku, keletihan setelah memandu sepanjang malam dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang. Dalam syahdu suara bilal mengalunkan azan subuh aku menerpa ke kaunter wad bersalin Hospital Besar Pulau Pinang, bertanyakan keadaan isteriku yang sejak malam tadi sakit hendak bersalin. Aku disapa oleh seorang jururawat yang agak berusia,”Encik suami Puan Che Hasni ke?”. “Ya”, jawabku ringkas, “Anak encik ada sedikit down sindrom”, katanya. Berderau darahku mendengar kata-kata itu, terhenti seketika nafasku. Lalu aku ditunjukkan isteriku dan anakku. Ku lihat mata isteriku basah, menangis. “Mana anak kita sayang?” tanyaku sambil dadaku berombak kencang mengawal perasaan yang hanya ku kongsikan dengan Allah. Ku dakap dengan penuh kasih sayang bercampur keliru yang menyelubungi ketidakpastian. Azan ku alunkan. Sesudah itu ku serahkan kembali anakku kepada isteriku. Ku kucup isteriku dan kami berbincang tentang masa depan yang penuh teka teki. Aku melangkah menuju ke surau, mengadu nasib ku kepada Yang Satu.

Semenjak hari itu, kehidupan kami berubah. Perhatian kami tertumpah sepenuhnya kepada Arif Hannan, putera sulung kami yang istimewa. Arif bertuah mempunyai seorang ibu yang bijak, sabar dan penyayang. Aku akur dengan ketekunan isteriku mencari maklumat, menyelidik dan kaya dengan pelbagai idea dan cadangan.

Janji kami, walau bagaimana pun anak kita, berapa pun jumlahnya, apa pun perangainya, kitalah yang akan menjaga, mendidik dan membesarkannya. Kesusahan dan kesenangan akan kita lalui bersama.

Arif semakin membesar, langkah pertama adalah memahamkan ahli keluarga bahawa Arif bukan seperti anak biasa. Persoalan yang biasa kami hadapi adalah,”Tak bawa pergi berubat ke?”. Kami perlu untuk memahamkan seluruh ahli keluarga dari pelbagai peringkat, ayah, ibu, adik beradik, atuk, pakcik, makcik, saudara, mara dan rakan taulan. Semakin banyak soalan yang perlu kami jawab semakin kuat kami berusaha mencari maklumat mengenai ‘Down Syndrome’.

‘Abang Arif Mesti Bersekolah Pada Usia 7 tahun’. Inilah misi kami. Untuk ke sekolah Arif perlu mampu menguruskan dirinya. Aku masih ingat, ketika berhenti di hentian rehat lebuh raya, di Gombak, aku menjenguk ke surau wanita yang ketika itu hanya isteriku dan Arif berada di dalamnya. Kami berdua diperlihatkan buat pertama kalinya Arif mampu mengangkat badannya dari kedudukan meniarap untuk duduk. Ketika itu usianya hampir setahun. Kami sama-sama menerpa ke arah Arif memeluk dan menciumnya berulang kali sambil mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Seronoknya tidak tergambar, biarlah anak orang lain sudah mampu melangkah di usia itu, akan kami usahakan agar Arif mampu ke sekolah pada usia 7 tahun.

Dari saat itu, Arif meneruskan rutin senamannya bagi merangsang perkembangan otak dan ototnya. Begitu juga dengan latihan pengurusan diri yang sentiasa diperhatikan perkembangnnya.

Januari 2005, segala kelengkapan persekolahan telah kami sediakan. Awal pagi lagi Arif telah bangun, mandi dan meminta agar dipakaikan dengan pakaian sekolah. Gembira tidak terkira apabila melihat Arif melangkah penuh semangat menaiki kereta untuk ke sekolah. Dalam kereta tidak putus-putus menyanyi menggambarkan hatinya yang riang mahu ke sekolah.

Hari pertama menghantar Arif ke sekolah, aku dan isteri diberikan taklimat bahawa Arif dan rakan-rakannya perlu melalui tempoh percubaan selama 3 bulan. Jika didapati tidak mampu untuk meneruskan persekolahan di peringkat rendah, Arif perlu keluar. “Ya Allah! Berikanlah kekuatan kepada Arif, bimbingilah dia dan lindungilah dia dari sebarang kemudaratan”, itulah doakan kami untuk Arif.

Setelah selesai minggu suai kenal, kini tibalah masanya untuk Arif melalui rutin sebenar sebagai pelajar sekolah. Pagi itu, seperti biasa Arif bangun penuh bersemangat untuk ke sekolah. Sepanjang perjalanan, seribu satu kemusykilan bermain di fikiranku. Bolehkah Arif dibiarkan bersekolah tanpa aku, bapanya dan ibunya berada di sisi? Bagaimana dia hendak ke tandas? Bolehkah dia membeli makanan di kantin tatkala waktu rehat? Bolehkah dia mencari kelasnya? Bagaimana kalau dia diganggu oleh pelajar-pelajar nakal? Bolehkah dia memahami arahan gurunya? Oh, Tuhan! Hanya Engkau yang Maha Mengasihani, Kau kasihilah Arif kami.

Sesampainya dipagar sekolah, aku disapa oleh seorang pelajar, “Assalamualaikum pakcik, Arif jom ikut saya”, ajaknya. “Abah, Adam, Aaaaadam!”, kata Arif, memperkenalkan rakan barunya. Ku lihat Arif penuh gembira memegang tangan Adam dan terus memasuki kelas. Tergamam aku melihat gelagat Arif. “Anakku dah pandai berkawan”, hatiku berbisik.

Walaupun begitu, aku masih tidak yakin sepenuhnya. Hari itu aku minta izin dari pengetua sekolah tempat ku mengajar, agar aku diberikan pelepasan sehingga waktu rehat. Aku perhatikan dari jauh anak sulungku itu, berbaris, mengikut arahan, ke tandas, ke kantin dan ke kelas. Aku besyukur misi kami dimakbulkan Allah, Arif ke sekolah di umur 7 tahun.

Setelah bersekolah aku dan isteri dihadapkan dengan set soalan baru mengenai perkembangan persekolahannya. “Arif dapat nombor berapa?”,”Berapa ‘A’?’, “Arif dah pandai membaca? Mengira?”, “Oh! Tahun depan dia ambil UPSR lah?”, “Darjah berapa?”. Itulah soalan yang perlu dihadapi oleh aku dan isteri. Sudah tentu jawapannya akan didahului dengan, “Anak sulung kami tu, istimewa, dia tak ambil UPSR”, dan sebagainya.

Aku pernah bergegas keluar meninggalkan kelas, berkejar ke sekolah Arif apabila aku dimaklumkan dia muntah-muntah. Sendi kakinya terkeluar dari kedudukannya dan pelbagai masalah lagi. Namun aku bersyukur, Arif terus bersemangat ke sekolah.

“Tho ha, ma an zalna li tas qa”, Arif menyebut dengan lancar. MasyaAllah! Lima ayat dari Surah Tho Ha yang dibaca setiap pagi di SK Bukit Sekilau meresap ke benaknya dan meluncur lancar dibibirnya. Banyak surah yang dihafal, doa, nasyid, lagu dan pelbagai lagi. Arif juga sudah pandai berkawan dan berbual.

“Abah, abang nak pergi Giant”,kata Arif. “Kan esok sekolah bang”, balasku. “Bukan begitu, tadi cikgu abang kata, esok mereka akan melawat Giant. Abang kena pergi sebagai latihan untuk suasana sebenar nanti”, jelas isteriku. “Giant, boleh ke?”, bisik hatiku. Keesokan harinya, Arif bersemangat lebih dari biasa. “Abang nak pergi Giant”, kata Arif berulang-ulang kali di hadapan adik-adiknya. Bangga dan gembira memberitahu bahawa hari itu hari istimewa, pergi membeli belah di Giant.

Aku pernah bermalam di SK Bukit Sekilau, membantu mengawasi perkhemahan pengakap. Aku beruntung ditemani oleh beberapa orang kaum bapa yang prihatin yang mana ketika itu aku diamanahkan sebagai Pengerusi Biro Pendidikan Khas. Berhujan kami malam itu. Aku dapat melelapkan mata sekejap di dalam kereta. Selebihnya kami berbual-bual sambil menikmati kopi dan biskut yang disediakan. Keesokannya aku memakai baju seragam pengakap yang aku perolehi ketika mengikuti KPLI di Maktab Perguruan Ipoh Perak pada tahun 2002 dahulu. “Tabik, abah!”, Arif mengangkat tangannya. Berderai ketawa kami anak beranak melihat gelagat Arif memberikan tabik hormat kepada abahnya.

Kami amat bersyukur, banyak perubahan yang ditunjukkan Arif sepanjang pembelajarannya di SK Bukit Sekilau. Arif tidak pernah gagal untuk mengikuti Lawatan Perdana setiap tahun. Melaka, Kuala Lumpur,Putrajaya antara destinasi pilihan. Cerita lawatannya kekadang menjangkau sehingga seminggu, berulang-ulang, seronok dapat bermusafir bersama rakan-rakan dan guru-guru.

Arif juga aktif bernasyid, koir dan pelbagai acara persembahan lagi. Mungkin kerana fizikalnya yang kurang mantap, dia kurang menonjol dalam acara sukan. Tapi kesungguhannya tetap terserlah walau apa acara yang disertainya. Dan sekiranya ada kesempatan kami sekeluarga akan menonton persembahannya.

Esok 19 Oktober 2013, Hari Graduasi bagi Pendidikan Khas SK Bukit Sekilau, aku termenung mengenang betapa bertuahnya kami. Dikurniakan Allah satu nikmat pencapaian yang terlalu besar. Mungkin ada yang mengatakan apalah sangat Hari Graduasi sekolah kebangsaan. Tidak! Ia cukup bermakna bagi kami yang mempunyai anak istimewa. Ia adalah sebuah perjuangan. Ramai yang tidak sempat menghabiskan tempoh persekolahan ini kerana halangan fizikal, kesihatan, akal dan pelbagai kesulitan lain. Aku sendiri berkesempatan menemui seorang rakan Arif yang mengalami masalah saraf sehingga tidak mampu untuk berjalan sendiri

Suatu ketika kami hairan kenapa Arif begitu beria-iya mencari naskhah Yasin selapas solat maghrib. Apabila ditanya Arif hanya mampu menjawab “Fariq, Fariq mak. Dah mati”. “Siapa Fariq?”, soal isteriku. “Kawan abang, dah mati”, balas Arif. Kami memberinya naskhah Yasin dan dia membacanya setiap malam selama dua minggu. Isteriku ingin mengetahui kisah Fariq lebih lanjut lalu bertanyakan hal tersebut kepada gurunya di sekolah. Kami diberitahu bahawa Arif amat rapat dengan Fariq dan meninggal dalam tidur ketika cuti penggal persekolahan. Aku begitu tersentuh dan membisikkan ke telinga Arif “Abang sayang Fariq kan? Nanti abang akan jumpa fariq di syurga. Abang boleh pergi sekolah dengan dia”. Arif memeluk ku erat, seolah-olah memberitahu bahawa dia begitu terasa kehilangan Fariq. Itulah nilai persahabatan, nilai persaudaraan untuk anak istimewa ini. Moga kami turut dapat menumpang sudut istimewa di hatimu Arif.
Arif bertuah mendapat kasih sayang dari guru-guru dan rakan-rakannya. Perhatian dan tunjuk ajar tidak ternilai harganya. Pengorbanan yang tidak setimpal imbalan, hanya Allah pengakhirannya. Terima kasih guru-guru dan teman-teman Arif. Begitu juga dengan komuniti ibu bapa anak-anak istimewa yang sentiasa berkongsi pengalaman dan tunjuk ajar.

Arif, tahniah dari abah dan emak. Kau telah berjaya menamatkan pengajianmu. Mungkin ini adalah graduasi tertinggimu, kami tidak tahu. Kejayaan bagimu bukan tingkat pencapaian tapi kesungguhan usahamu. Maka sebab itu abah mahukan semua ahli keluarga kita memberikan penghormatan kepada hari istimewa ini, kerana ini adalah hari kejayaan keluarga kita, perjuangan keluarga kita.

Teruslah berjuang Abang Arif, abah dan emak sentiasa berikhtiar dan mendoakan yang terbaik buat mu, Abang Arif Hannan bin Amidi.

AMIDI BIN ABDUL MANAN.
Perkampungan Pelindung Maju,
Kuantan.

11.55 malam
18 Oktober 2013.

Comments

Astara Evgeni said…
Tahniah Encik. Saya dan suami baru dikurniakan anak istimewa. Anak sulung bernama Muhamad Aidan. Doakan kami ya.

Popular posts from this blog

80% PELAJAR TAMAT TAHFIZ TIADA SPM? BETUL KE