MENCARI PEMIMPIN BERAKAL DAN MAMPU BAWA PERUBAHAN TERBAIK


Mencari pemimpin berakal, mampu bawa perubahan terbaik

BARANGKALI ketika ini, perbincangan berkaitan tentang pemimpin dan kepimpinan merupakan satu perkara yang sukar dicerna oleh fikiran. Ini kerana kebanyakan orang sibuk memikirkan tentang rancangan percutian hujung tahun, persediaan persekolahan anak-anak, azam tahun baharu serta tidak kurang juga yang malas untuk berfikir apa-apa.

Namun, dalam kesibukan hujung tahun ini, elok juga kita ‘berehat’ sebentar daripada hal-hal peribadi dan mula memikirkan tentang pemimpin yang kita mahu untuk memimpin kita dan negara ini.
Ibnu Khaldun pernah menyatakan bahawa “tabiat rakyat pada hakikatnya merupakan bayangan kepada tabiat atau amalan hidup yang dimiliki oleh pemimpin mereka." Dengan kenyataan ini, pastinya kita mahukan pemimpin yang beriman, baik, amanah, bekerja keras, rajin dan bijak berfikir serta kreatif.
Ini kerana, sifat-sifat mulia yang ada pada pemimpin tersebut pada akhirnya akan tergambar dalam masyarakat yang dipimpinnya. Dengan adanya kesatuan pemimpin dan rakyat bersifat mulia itu maka kita mendambakan satu bangsa dengan peradaban dan tamadun yang tinggi.

Namun sebaliknya, ketika ini, pemimpin dengan sifat mulia tidak ramai bilangannya. Walaupun pada hakikatnya, pemimpin mulia itu ada tetapi kewujudan mereka sukar dikenal pasti kerana kemuliaan akal budi mereka diselubungi oleh sifat jahat pemimpin lain yang hanya mementingkan diri.
Bak awan yang menutupi cahaya mentari, begitu jugalah nasib pemimpin mulia itu. Keindahan sifat mereka dilenyapkan oleh sifat mungkar pemimpin lain. Malah pemimpin-pemimpin yang mungkar ini lebih terkenal malah dihormati.

Walaupun kenyataannya, mereka hanya membawa kerosakan kepada masyarakat namun mereka jugalah yang dipuji dan dijunjung. Tugas mereka untuk merosakkan bangsa tidak sukar sebenarnya.
Bak kata Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud di dalam bukunya bertajuk Masyarakat Islam Hadhari, merosakkan masyarakat dan negara itu lebih mudah kerana “kegiatan sebegini tidak memerlukan ilmu dan pemikiran mendalam." Ini kerana “kerosakan hanya memerlukan kuasa yang disalah guna."
Penyalahgunaan kuasa ini merupakan ciri pemimpin yang memusnahkan bangsa. Dengan itu kerosakan demi kerosakan berlaku dalam masyarakat. Ibarat satu kitaran yang jahat, kerosakan ini nyata sukar diubati malah diturunkan dari satu generasi ke satu generasi lain.

Untuk melepaskan diri daripada belenggu kerosakan ini, masyarakat memerlukan satu atau sekumpulan pemimpin yang secara ikhlas ingin mengubah masyarakat ke arah yang baik. Paling penting keinginan untuk mengubah masyarakat bukan didorong oleh sebab-sebab kebendaan tetapi lebih utama kerana tanggungjawab dan kasih kepada masyarakat yang dipimpin.

Bagi Prof. Syed Hussien Alatas yang menulis buku bertajuk Intellectuals in Developing Countries pada tahun 1977, pemimpin hendaklah menjadi seorang ‘intelektual.’ Dengan kata lain, mereka hendaklah menjadi pemimpin yang berakal.

Dalam al-Quran, kata-kata yang berkait langsung dengan kalimah ‘akal’ muncul sebanyak 49 kali dan semuanya memberi makna yang baik kepada penggunaan akal. Ini menunjukkan betapa umat Islam, termasuklah pemimpin dan masyarakat yang dipimpin, wajib menggunakan akal mereka untuk menjana kebaikan. Bagi yang membaca al-Quran, gesaan-gesaan berbunyi “...tidakkah kamu berakal?" dan “...supaya kamu berfikir" sering kali ditemui.

Ini semua merupakan satu cabaran kepada umat Islam supaya menggunakan akal untuk berfikir kerana hanya mereka yang berfikir dapat mengambil pengajaran (Surah al-Baqarah, 2:269) dan peringatan (Surah ali-Imraan, 3:7) termasuklah merasai keinsafan (Surah ali-Imran, 3:13).
Permulaan pemimpin yang berakal adalah rasa cinta yang tinggi terhadap ilmu. Kata Pendeta Za‘ba dalam bukunya yang bertajuk Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri, ilmu pengetahuan adalah “alat suluhan akal."
Oleh itu, kita “...boleh menggunakan suluhan itu bagi menimbang mana perkara yang patut dan mana yang baik..." Apa yang boleh disimpulkan daripada pandangan Za‘ba ialah pemimpin harus menggunakan ilmu untuk memandu proses berfikir agar mereka dapat menghasilkan kesimpulan, keputusan serta tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Dalam era kemajuan kini, ramai pemimpin terperangkap dalam apa yang disebut Prof. Syed Hussien Alatas sebagai gejala bebalisme.

Gejala bebalisme ini dicirikan dengan pelbagai kepincangan terutamanya dari segi keinginan dan kemampuan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan.
Antara sikap terhadap ilmu yang ditunjukkan oleh gejala bebalisme adalah kelesuan berfikir, sikap acuh tak acuh, tidak berminat terhadap budaya ilmiah dan tidak berdaya cipta. Pemimpin yang miskin ilmu sebegini seharusnya ditolak mentah-mentah.

Pemimpin yang terperangkap dalam gejala ini juga bukan sahaja tidak berminat dengan ilmu tetapi tidak menghormati ilmu pengetahuan dan pandangan ilmiah, tidak mempunyai kecintaan terhadap hujah yang tertib dan mantiqi serta tidak menaruh penghargaan terhadap budaya ilmiah itu sendiri.
Gejala bebalisme boleh dianggap sebagai “parasit dalam fikiran" pemimpin. Apa yang jelas pemimpin begini tidak akan mampu membawa perubahan yang baik kepada negara dan masyarakat.

Paling menyedihkan apabila gejala ini diperturunkan daripada satu generasi kepimpinan ke generasi kepimpinan yang lain. Oleh itu, ia sememangnya amat sukar dihapuskan. Hanya pemimpin yang berakal dan bersifat mulia dapat merobohkan jaringan warisan gejala bebalisme ini.

Namun, di manakah pemimpin yang boleh membawa perubahan yang baik itu? Hakikatnya mereka ada tetapi seperti tiada. Pemimpin sebegini perlu bangun dan melakukan sesuatu.
Mereka ini amat diperlukan untuk membawa negara ke arah kejayaan. Jika pemimpin berasa sebaliknya - iaitu berasa telah tersasar atau kurang ilmunya - maka masih belum terlambat untuk mengubah sikap dan meningkatkan kebolehan diri.

Jika tiada kemampuan akal dan ilmu maka carilah bantuan. Bersahabatlah dengan ilmuwan yang benar agar akhirnya persahabatan atau gabungan itu dapat mencetuskan dasar-dasar dan tindakan-tindakan yang memberi manfaat kepada negara ini juga.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Sains
dan Alam Sekitar, Institut
Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

sempena PRU 13 nini saya memohon seluruh penduduk Malaysia menjadikan ilmu sebagai kayu ukur memilih pemimpin yang akan membawa perubahan kepada negara kita dan  menjunjung prinsip kebenaran dan keadilan

Comments

Popular posts from this blog

80% PELAJAR TAMAT TAHFIZ TIADA SPM? BETUL KE