TURKI OH TURKI.....


Turki: Saksi Kemuncak Pertembungan Politik Islam & Sekularisme?

Pengalaman politik Turki semasa boleh dikatakan sebagai sebuah uji kaji bagi mengenal pasti sejauh mana keupayaan politik Islam membina tahap kesalingan hubungan antara prinsip Islamisme yang menjadi neraca perjuangannya dengan ideologi sekularisme yang sudah mengakar dalam pemikiran dan nilai kehidupan masyarakat Turki sekian lama.

Dalam erti kata lain, pengalaman politik di Turki menarik perhatian kerana uji kaji ini nanti pada akhir prosesnya yang ketika ini masih lagi berkembang bakal menatijahkan kelahiran sebuah model atau sintesis pemikiran politik Islam yang bercorak baru yang kini dirujuk dalam kerangka wacana yang dinamakan pasca Islamisme.

Uji kaji bagi membina kesalingan hubungan dan penyesuaian antara Islamisme dan sekularisme di Turki ini terus terjadi menerusi prosesnya yang dinamik. Ia dilangsungkan menerusi pendekatan politik, ekonomi dan budaya oleh Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) sebagai penggerak utamanya yang kini dipimpin oleh Perdana Menteri Turki, Recep Tayyib Erdogan.


Sememangnya proses membina kesalingan hubungan dan penyesuaian ini amat mencabar dan ia bukan suatu tugas mudah. Proses ini menuntut seni berpolitik yang tinggi, dukungan rakyat yang meluas serta hikmah pelaksanaan yang mendalam. Di samping tugasnya yang mencabar, prosesnya ini juga harus berdepan dengan ramai pesaing dan pengkritiknya.

Dalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi seperti di Turki, persaingan politik adalah lumrah. Apatah lagi dalam konteks pengalaman politik di negara itu yang tumbuh daripada pengaruh dan pertentangan berlanjutan antara fahaman yang cuba diketengahkan oleh pergerakan politik yang berasaskan agama dengan perkumpulan yang bercita-cita memastikan kehidupan bernegara terus terpisah dengan pengaruh atau unsur keagamaan.

Berasaskan kerangka kefahaman ini, peneliti pemikiran politik Islam memberi tafsiran terhadap bantahan awam yang terjadi di Turki sebagai satu bentuk pertembungan budaya dan citra politik yang berkembang dalam arus pemikiran dan kehidupan semasa masyarakatnya.

Bantahan awam sebahagian rakyat Turki bukan sesuatu di luar jangkaan. Dengan latar persaingan politik yang getir yang dibentuk oleh pelbagai kepentingan individu dan kelompok serta agenda pembudayaan citra politik Islam yang semakin menonjol dan ketara di Turki, ia sudah menimbulkan ketidakselesaan sosial terhadap sesetengah kelompok masyarakatnya.

Penerapan agama dalam sistem

Situasi ini memberi kemudahan kepada berkembangnya prejudis terhadap tindakan pesaing dan merancakkan lagi kegiatan politik berbentuk protes awam sebagai strategi bagi menunjukkan perbezaan dan kelainan di pentasnya yang tersendiri.

Oleh kerana itu, ramai pemerhati politik memberikan komentar, iaitu bantahan awam yang dilakukan oleh sebahagian rakyat di Istanbul itu yang dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap cadangan Kerajaan Turki menyusun semula prasarana pembangunan sebuah taman awam di ibu kota itu bukanlah faktor sebenar. Hakikat bantahan berpunca daripada sikap ingin menunjukkan penentangan terhadap proses pembudayaan politik Islam oleh Kerajaan Turki.

Bagi kelompok yang terbangun dengan nilai hidup sekular secara tegar, langkah Kerajaan Turki mengatur etika sosial masyarakatnya seperti pengenalan peraturan penjualan dan pengiklanan minuman keras, larangan bercium secara terbuka di tempat awam dan cadangan pembinaan sebuah masjid di sebuah taman di Istanbul dilihat oleh pesaing sebagai langkah dan agenda penerapan agama dalam sistem sosial dan budaya di Turki.

Program pembudayaan agama

Sebelumnya, Kerajaan Turki sudah memberikan keizinan penggunaan pakaian berhijab di tempat awam yang mana ia ada satu larangan serta langkah menamakan sebuah jambatan baru di Turki bersempena dengan nama Sultan Selim 1, seorang pemerintah Turki pada era Kerajaan Uthmaniyyah juga ditafsir sebagai usaha tersirat proses pembudayaan agama dalam kehidupan bernegara di Turki oleh AKP.

Program pembudayaan agama yang dijayakan Kerajaan Turki ini adalah satu aspek kegiatan politik penting oleh AKP bagi mempertegaskan citra politiknya kepada sebahagian besar rakyat yang sudah memberikan sokongan yang besar kepada mereka. Ia juga dilihat penting terutama bagi proses membangunkan kesalingan dan penyesuaian antara agama dan negara di Turki.

Namun, langkah ini menjadi satu modal politik yang penting pula oleh pesaing politik AKP yang mendakwa ia boleh mengancam asas kenegaraan Turki berasaskan ideologi sekularisme yang dibina oleh Presiden Turki pertama, Mustapa Kamal Atartuk.

Oleh: Dr Muhamad Razak Idris (Pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM & Presiden ABIM, 2009-2011)

Comments

Popular posts from this blog

80% PELAJAR TAMAT TAHFIZ TIADA SPM? BETUL KE